Saturday, July 7, 2012

Hukun puasa selepas Nisfu Sya'baan..


Masih ramai kalangan orang awam yang keliru dengan hukum berpuasa selepas hari Nishfu Sya'baan (15 Sya'baan).
Ramai yang tidak tahu bahawa menurut qawl yang mu'tamad dalam Mazhab Syafi'i hukum berpuasa selepas Nishfu Sya'baan adalah HARAM DAN TIDAK SAH dengan beberapa pengecualian yang akan datang penjelasannya. Kekeliruan mungkin disebabkan mazhab-mazhab lain mempunyai pendapat yang berbeza dengan Mazhab Syafi'i berdasarkan kepada ijtihad mereka. Ulama Syafi'i mengistinbathkan pengharaman berpuasa tersebut berdasarkan beberapa dalil termasuklah hadits-hadits Junjungan Nabi SAW. Antaranya apa yang diriwayatkan dalam "Sunan at-Tirmidzi", juzuk 2, halaman 183, bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda sebagai berikut:-
"Telah diberitakan kepada kami oleh Qutaibah, telah diberitakan kepada kami oleh 'Abdul 'Aziiz bin Muhammad, daripada al-'Alaa' bin 'Abdur Rahman, daripada ayahnya, daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. yang telah berkata: Telah bersabda Junjungan Rasulullah SAW:
"Apabila tinggal baki separuh dari bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa"
 [ HR At-Tirmidzi ]
Dan telah berkata Abu 'Isa (yakni Imam at-Tirmidzi): "Hadits Abu Hurairah ini adalah hadits hasan shohih dan tiada kami ketahui akan dia melainkan dengan wajah (riwayat) ini atas lafaz ini."
Selain daripada hadits di atas, Imam Abu Daud turut meriwayatkan dalam sunannya sebagai berikut:-
Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Rasulullah SAW bersabda:
"Apabila masuk separuh bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa."
 [ HR Abu Daud ]
Imam ash-Shan'ani dalam "Subulus Salam" juzuk 2, halaman 345 menyatakan bahawa hadits ini adalah hasan shohih di sisi para muhadditsin selain Imam Ahmad. Imam Ahmad mendhoifkannya kerana bagi Imam Ahmad perawi yang bernama al-'Alaa' bin 'Abdur Rahman adalah perawi yang dhoif. Menurut kajian Imam ash-Shan'aani, pendapat Imam Ahmad tersebut adalah tidak tepat kerana al-'Alaa' bin 'Abdur Rahman adalah seorang perawi yang hadits-hadits yang diriwayatkannya diambil oleh Imam Muslim dan selanjutnya Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam "at-Taqrib" menghukumkan al-'Alaa' bin 'Abdur Rahman ini sebagai seorang perawi yang shaduuq (benar atau kepercayaan).
Sungguhpun dihukumkan haram, tetapi pengharaman berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan ini tidaklah mutlak seperti pengharaman berpuasa pada 5 hari yang diharamkan secara mutlak berpuasa, iaitu 2 hari raya dan 3 hari tasyriq. Pengharaman berpuasa pada hari-hari nishfu kedua Sya'baan dan hari Syak tidaklah mutlak kerana ianya mempunyai pengecualian. Maka hukum HARAM DAN TIDAK SAH puasa yang dilakukan selepas nishfu Sya'baan (iaitu selepas tanggal 15 Sya'baan) mempunyai PENGECUALIAN seperti berikut:-
1. Puasa sunnat tersebut disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari yang berada di nishfu pertama.
(separuh pertama) bulan Sya'baan walaupun dengan hanya satu hari sahaja (yakni dihubungkan dengan berpuasa pada hari 15 Sya'baan) dengan syarat ianya hendaklah berterusan sehingga Ramadhan, jika terputus walaupun dengan uzur maka tidaklah boleh disambung lagi puasa tersebut. Contohnya, jika seseorang berpuasa sunnat pada 15 Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada 16 Sya'baan dan hari-hari berikutnya. Tetapi katakanlah setelah berpuasa pada 15, 16, 17 dan 18 Sya'baan, dia tidak berpuasa pada 19 Sya'baan, dengan atau tanpa uzur, maka tidaklah boleh lagi dia berpuasa sunnat pada 20 Sya'baan dan hari-hari yang berikutnya sehinggalah Ramadhan.

2. Puasa sunnat tersebut telah menjadi amalan biasa seseorang.
(yakni yang telah dijadikan wirid kebiasaannya). Contohnya, seseorang yang telah membiasakan puasa pada setiap Isnin, maka tidaklah jadi halangan untuk dia meneruskan kebiasaannya itu.

3. Puasa qadha' samada qadha puasa fardhu atau qadha puasa sunnat yang berwaktu.

4. Puasa kaffarah atau puasa nazar dengan syarat ianya tidak dilakukan dengan sengaja dan dengan tahu yang hari yang dinazarkan itu adalah hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan.
Misalnya, seseorang bernazar hendak berpuasa pada hari Khamis minggu hadapan tanpa menyedari bahawa Khamis hadapannya sudah masuk dalam nishfu kedua Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada Khamis tersebut. Maka jika sekiranya dia tahu yang Khamis tersebut adalah dalam nishfu kedua bulan Sya'baan, maka tidaklah boleh dia berpuasa dan tidaklah sah nazarnya itu.


Inilah perincian hukum bagi puasa yang dilaksanakan setelah nishfu Sya'baan menurut Mazhab Syafi'i yang menjadi pegangan kita, sebagaimana yang tersebut dalam kitab-kitab fiqhnya. Antaranya dalam "Anwarul Masaalik syarah 'Umdatis Saalik wa 'Uddatin Naasik" karya Syaikh Muhammad az-Zuhri al-Ghumrawi rahimahUllah yang menyatakan pada halaman 125 seperti berikut:-
(Dan haram berpuasa [sunnat] pada hari-hari selepas nishfu Sya'baan, jika sekiranya puasa tersebut tidak berbetulan dengan adat kebiasaan seseorang) sebagaimana yang telah disebut terdahulu ketika perbincangan tentang hari Syak, (dan [puasa tersebut] tidak berhubung / bersambung dengan hari yang sebelumnya) iaitu tidak bersambung puasa pada nishfu yang kedua [bulan Sya'baan] dengan berpuasa pada separuh yang pertama bulan tersebut. Maka jika sekiranya puasa tersebut berbetulan dengan adat kebiasaan baginya atau dihubungkan [dengan hari-hari separuh pertama Sya'baan], sahlah puasa tersebut dan hilanglah keharamannya.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah menulis dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah", jilid 2 halaman 82, sebagai berikut:-
Dan daripadanya [yakni daripada hadits-hadits berkaitan dengan] puasa dalam bulan Sya'baan, ialah hadits Sayyidatina 'Aisyah r.'anha yang menyatakan: "Tidak aku melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh, melainkan bulan Ramadhan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya'baan", hadits diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dan keduanya meriwayatkan juga hadits lain dengan kata-kata: "Tiada baginda berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Sya'baan, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Sya'baan", dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata:- "Adalah baginda berpuasa pada bulan Sya'baan keseluruhannya kecuali sedikit."... Kemudian hadits-hadits tersebut tidaklah menafikan hadits yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas nishfu bulan Sya'baan, kerana berlakunya pengharaman tersebut ialah kepada sesiapa yang hanya berpuasa selepas nishfu tersebut dan tidak menghubungkan puasanya [dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan (yakni hari 15 Sya'baan)]. Manakala berlakunya keharusan (baca: boleh / jaiz) berpuasa, bahkan sunnat berpuasa, ialah kepada sesiapa yang berpuasa sebelum nishfu lagi dan meninggalkan berpuasa selepasnya [yakni dia berpuasa sunnat pada nishfu pertama bulan Sya'baan dan berhenti setelah nishfunya tersebut]; ATAU dia meneruskan puasanya dengan menghubungkan puasanya itu dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan [yakni hari 15 Sya'baan]; ATAU dia tidak menghubungkan puasanya, akan tetapi puasanya pada hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan tersebut ialah puasa kerana qadha' atau puasa nazar atau puasa yang menjadi wiridnya (kebiasaannya). Dan hadits yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam at-Tirmidzi, Imam an-Nasai dan Imam Ibnu Majah, iaitu: "Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa sehingga menjelang Ramadhan", adalah jelas pada yang demikan (yakni pada menyatakan haramnya berpuasa pada hari-hari selepas Nishfu Sya'baan).
Murid Imam Ibnu Hajar rahimahUllah, iaitu Syaikh Zainuddin bin 'Abdul 'Aziz al-Malibari, rahimahUllah, menulis dalam karya beliau "Fathul Mu'in"pada halaman 60:-
(Tatimmah) Haram puasa pada hari-hari tasyriq ..., dan demikian pula haram puasa selepas Nishfu Sya'baan, selagi mana ianya tidak berhubung / bersambung dengan hari sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan] atau jika puasa tersebut tidak muwafaqah dengan adatnya (yakni tidak berbetulan dengan kebiasaannya atau wiridnya); atau jika puasa tersebut bukan puasa nazar atau puasa qadha' walaupun hanya qadha' puasa sunnat.
Penjelasan 'Allaamah Sayyid Muhammad 'Abdullah al-Jurdani dalam "Fathul 'Allam" juzuk 4, halaman 152- 153, pula adalah seperti berikut:-
Dan haram puasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan, melainkan jika ianya disambung / dihubungkan dengan hari yang sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan], walaupun hanya satu hari [yakni walaupun dengan hanya berpuasa pada 15 Sya'baan sahaja] dan hendaklah berkekalan puasa tersebut sehingga ke akhirnya. Maka jika tidak berkekalan, bahkan jika berbuka (yakni tidak berpuasa) dengan uzur sekalipun, tertegahlah atasnya untuk berpuasa lagi dengan tanpa sebab.
Inilah khulasah hukum berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan. Harap kita sebagai pengamal Mazhab Syafi'i dapat beri perhatian sewajarnya. Allahlah yang Maha Mengetahui.

Cinta kepada Pencipta..!!


Alhamdulillah, sejak Fiq mula mengenali dan cuba mengamalkan ajaran-ajaran Islam dalam hidupnya, dirinya makin terasa tenang dan hidupnya telah banyak berubah.
Daripada seorang yang kurang mempunyai rasa malu berbanding rakan-rakannya yang lain, Fiq kini telah mula rasa malu untuk melakukan perkara-perkara yang kurang manis dilakukan oleh seorang gadis sepertinya.Dia juga berusaha menutup auratnya mengikut syariat-syariat Islam walaupun pada mulanya dia teragak-agak untuk berubah kerana bimbang dirinya tidak dapat beristiqamah dengan perubahan yang bakal dilakukannya.
Fiq juga berusaha sedaya upaya agar dirinya mengadu hanya kepada pencipta-Nya. Pada mulanya, hal ini amat sukar kerana dia adalah seorang yang suka bercerita kepada rakan-rakannya perihal setiap perkara yang berlaku kepadanya. Namun, dia berusaha sedaya mungkin untuk berubah atas kesedarannya bahawa hanya Allah yang benar-benar memahami dirinya dan Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Seperti kebanyakan gadis-gadis seusianya, dirinya juga tidak terkecuali daripada fitrah seorang manusia yang ingin dicintai dan mencintai. Jika dahulunya, dia sering berasa cemburu melihat rakan-rakan mempunyai teman masing-masing, kini semuanya sudah berubah. Persepsinya sudah beralih arah. Apa yang bermain di dalam hati dan fikirannya hanyalah ingin meraih cinta Yang Maha Agung.
Namun, dalam perjalanannya meraih cinta Ilahi, hadir seorang Adam yang ingin merebut hatinya. Si Adam berusaha menarik perhatian Fiq, namun, pada masa yang sama, masih menjaga batas-batas yang telah digariskan agama. Pada mulanya, Fiq juga seakan-akan memberikan respons kepada si Adam, kerana baginya, si Adam adalah seorang yang baik dan mengambil berat akan dirinya.
Hari demi hari berlalu. Ingatan Fiq terhadap si Adam semakin lama semakin mendalam. Setiap pergerakannya pasti didahului dengan ingatan terhadap si Adam. Namun, Fiq merasakan bahawa hatinya mula sakit, dirinya rasa gelisah tatkala ingatannya kepada si Adam makin mendalam. Dia merasakan bahawa cintanya terhadap Sang Pencipta kian pudar.
Hatinya merintih kerana sebelum ini, amat sukar baginya untuk meraih cinta Ilahi. Pelbagai dugaan terpaksa ditempuhinya. Tapi setelah dia mula belajar mencintai Penciptanya, kini dirinya diduga dengan perasaan terhadap si Adam. Fiq berasa amat sedih kerana apa yang diinginkan sebenarnya adalah cinta Sang Pencipta, bukannya cinta makhluk yang diciptakanNya.
Hanya doa kepada Sang Pencipta yang mampu dipinta, agar dikuatkan hati dan dilindungi daripada bisikan musuhNya. Fiq masih mendambakan cinta Sang Penciptanya, kerana dia yakin itulah cinta yang hakiki. Biarlah dia meraih cinta si Adam yang mencintai penciptanya kerana sesungguhnya berkasih sayang kerana Allah itulah yang dicarinya.
Setiap kali dalam doanya, dia meminta, "Ya Allah, hilangkanlah rasa cintaku ini jika dia bukan untukku, namun jika dia adalah jodohku, hadirkanlah rasa ini setelah dia sah menjadi suamiku, kerana sesungguhnya aku hanyalah inginkan cinta yang halal buat diriku. Sesungguhnya, aku mencari cinta orang yang mencintaiMu dan sesungguhnya aku mendambakan cintaMu yang Maha Suci."

Cinta, Oh, Cinta,,.


Cinta itu fitrah. Sering kita ungkap, sering kita singkap betapa besar perasaan cinta. Cinta juga apabila ditanya maksudnya, akan timbul pelbagai definisi dari setiap orang yang membicarakannya. Ya, cinta itu sifatnya suci dan kalam. Namun, kita sebagai manusia yang mencacatkan cinta. Apabila ditanya, cinta apa yang utama, ramai atau mungkin semua akan katakan, 'cinta kepada Allah'.
Tepat sekali.
Namun, ramai yang tahu secara tepat, tapi tidak faham secara jelas. Cinta utama sudah pasti cinta kepada Allah. Mari kita muhasabah diri bersama-sama. Sebagai contoh, jika kita mendapat panggilan daripada kekasih daripada mendengar azan dari masjid, yang mana kita utamakan? Atau bila diajak untuk keluar bersama pasangan daripada menunaikan solat, mana yang kita dahulukan? Ataupun bila diajak membuat kebaikan daripada mencari habuan atau ganjaran dunia, yang mana kita lakukan? Tepuk dada, tanya iman.
Kita manusia mampu berkata-kata, mampu bersandiwara. Kita terbabas dari realiti dan lebih mengejar fantasi kehidupan berbanding mencari husnul khotimah. Ingatlah, diri kita (manusia) tanpa rahmat Allah ibarat tin kosong yang berkarat. Sungguh, lihatlah cinta itu pada mata hati bukan pada pancaindera dan rasa semata-mata kerana terdapat nikmat iman jika kita mencintai Allah dan Rasul melebihi segalanya. Teliti dan fahami maksud hadis berikut:
Anas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga hal yang barangsiapa mengamalkannya, maka dia dapat menemukan manisnya iman, iaitu orang yang mencintai Allah dan RasulNya melebihi daripada yang lain; mencintai yang lain kerana Allah; tidak suka kembali pada kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya) sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam api neraka.' (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa'i, Ahmad)
Sabda Rasulullah SAW lagi: "Masih belum sempurna iman seseorang daripada kalian sebelum diriku lebih dicintai oleh daripada hartanya, anaknya, dan seluruh manusia." (Riwayat al-Nasa'i)

Jalan mencari cinta
Jalan cinta bukan mudah. Akal dan pemikiran muda mudi kini sering kali disesakkan dengan ideologi dan kata-kata indah tentang wujudnya 'cinta islamik' sebelum berkahwin. Sedarlah, tiada cinta sebelum nikah. Andai kata kita mengucapkan rasa cinta kepada seseorang yang tiada ikatan yang sah sudah pasti bakal mengundang zina hati atau fitnah tanpa disedari. Ungkapan 'aku mencintaimu kerana Allah' dijadikan satu alasan untuk meng'halal'kan cinta mereka semata-mata. Jadi, pilihan ada pada kita semua.
Mari kita selami hadis ini: "Sesiapa yang jatuh cinta, kemudian menyembunyikannya hingga kematian datang menjemputnya, maka dia adalah seorang syahid." (Riwayat Hakim, Ibn Asakir, al-Dailami dan lain-lain)
Amat besar nikmat cinta jika yang dicari demi mendapat keredhaan Ilahi. Inilah perjalanan kehidupan, cinta mencipta seribu satu persoalan. Cinta Ilahi adalah segalanya. Cinta kerana Allah akan sampai ke penghujungnya. Biar dirasai kepahitan dalam mencari cinta agar mendapat kemanisan hikmah di sebalik kisah cinta.
Aspek memilih cinta
Sebagai seorang Muslim, iman dan taqwa jadi pegangan. Al-Quran wajib dijadikan pedoman dan ditegakkan serta as-sunnah mesti dijadikan ikutan. Begitulah juga dalam aspek memilih cinta hati atau pasangan hidup kita. Agama perlu dijadikan panduan utama.
Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya: "Dinikahi wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya,maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkan kamu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, jagalah kesucian diri, simpanlah perasaan yang bersemi di hati, cinta Ilahi adalah cinta abadi. Islam, iman dan ihsan adalah aspek penting dalam memilih calon yang soleh dan solehah. Mohonlah doa dan keredhaan daripada Allah semoga dikurniakan seorang insan yang akan membuatkan kita bahagia di akhirat kelak nanti. Jadi, ingatlah, iman, ikhlas dan sabar adalah kunci kepada cinta yang suci.
Firman Allah SWT:
"Dan orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang yang bertakwa."
(Surah al-Furqan 25: Ayat 74)
Insya-Allah.